SEMANGAT WIRA: SEMBILAN STAF UTM PAGOH TAWAN PUNCAK GUNUNG KINABALU WALAU CUACA MENCABAR
Pagoh, 25 Jun 2025 – Lapan orang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Pagoh berjaya mencipta detik bersejarah apabila berjaya menawan puncak tertinggi Malaysia, Gunung Kinabalu (4,095.2 meter dari aras laut) pada pagi 21 Jun 2025. Ekspedisi ini diketuai oleh Encik Mohairin Mohamed Mohtar, Penolong Pendaftar UTM Pagoh & ahli PERTISAS dengan sokongan juru pandu berpengalaman, Pettry bin Osman dan Sirai anak Bungkong.
Pendakian bermula pada 20 Jun 2025 dari Timpohon Gate (1,866 meter), diiringi hujan lebat yang menyukarkan perjalanan awal pasukan. Laluan licin dan berkabus memaksa para pendaki berhati-hati meniti batuan dan akar sepanjang trek. Namun begitu, semangat dan ketabahan kesemua peserta membolehkan mereka sampai ke Laban Rata, stesen rehat di ketinggian 3,273 meter, menjelang petang.
“Cabaran utama pada hari pertama adalah hujan lebat yang berterusan hampir sepanjang pendakian. Namun kami kekal positif dan saling menyokong,” kata Encik Mohairin.
Pasukan ini terdiri daripada Muhammad Shalihin Md Yusof, Muhammad Hanif Roslan, Mohammad Nizam Idris, Tc. Mohd Fadhirul Saminan, Khairul Nizam Hamzah, Nor Azilah Abd Aziz, dan Hafis Ramli. Turut sama Muhammad Amir Sufi dari Sime Darby Property Selatan. Mereka telah menjalani latihan fizikal intensif selama lima bulan sejak 25 Januari 2025, termasuk menawan beberapa gunung lain seperti Gunung Angsi dan Gunung Datuk (Negeri Sembilan), Gunung Pulai (Johor), dan Gunung Nuang (Pahang).
Pada jam 2.00 pagi, 21 Jun, pendakian ke puncak dimulakan. Cuaca pada pagi itu ternyata berpihak kepada mereka – langit cerah dengan suhu sekitar 10°C, membolehkan pandangan yang jelas dan perjalanan yang lebih selamat. Laluan mencabar di bahagian akhir pendakian memerlukan tumpuan tinggi, kekuatan mental dan sokongan rakan-rakan menguatkan semangat mereka.
Sekitar jam 7.00 pagi, kesemua sembilan pendaki berjaya menjejakkan kaki di puncak Low’s Peak, titik tertinggi di Malaysia. Mereka disambut oleh pemandangan matahari terbit yang menakjubkan – ganjaran semangat juang yang tidak pernah luntur.
Menurut Nor Azilah Abd Aziz, satu-satunya peserta wanita dalam kumpulan, kejayaan ini menjadi simbol kekuatan wanita dalam menempuh cabaran lasak dan luar jangka. “Kita mampu mendaki bukan hanya gunung, tetapi juga halangan dalam hidup,” ujarnya penuh bersemangat.
Kejayaan ini diraikan bukan sahaja sebagai pencapaian peribadi setiap individu, tetapi sebagai lambang semangat berpasukan, ketahanan fizikal dan mental, serta kebanggaan seluruh warga UTM Pagoh.
Warga Kampus UTM Pagoh merakamkan ucapan tahniah dan berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada warga UTM untuk terus aktif dalam aktiviti pembinaan karakter dan kecergasan kendiri. Gunung Kinabalu kini menjadi saksi kepada keazaman luar biasa sembilan wira UTM yang telah mengukir nama mereka di puncak tertinggi Malaysia.